Bicara kes saman fitnah SM Faisal bermula 14 Ogos 2023

0
212
PERBICARAAN kes saman fitnah ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap aktivis, Mona Din ditetapkan selama empat hari bermula 14 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Saman itu membabitkan beberapa hantaran berbaur fitnah oleh Mona atau nama sebenarnya Che Muna Din, 56, di akaun Facebook miliknya berhubung isu pemenjaraan bekas isteri SM Faisal, Emilia Hanafi.

Menurut peguam Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili SM Faisal, perbicaraan kes saman itu ditetapkan pada 14 hingga 17 Ogos 2023 di hadapan Hakim Azian Othman.

“Tarikh 3 Julai 2023 ditetapkan untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan,” kata peguam itu ketika dihubungi, hari ini.

Dalam saman difailkan pada 17 Ogos lepas, SM Faisal, 43, selaku plaintif mendakwa defendan (Che Muna) memuat naik empat hantaran berbaur fitnah dalam akaun Facebook miliknya, Mona Din antara 29 Jun hingga 20 Julai lepas.

Dakwa plaintif, hantaran-hantaran tersebut antara lain menggambarkan beliau adalah seorang yang kejam, tidak bertimbang rasa dan menyebabkan trauma kepada bekas isterinya selain didakwa menggunakan wang serta pangkatnya untuk memanipulasi sistem keadilan di negara ini.

Sementara itu, Che Muna dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 28 Sept lepas, mendakwa hantaran berkenaan merupakan komen adil dan berpatutan kerana isu tersebut berkepentingan awam.

Berhubung satu lagi kes saman fitnah membabitkan penyanyi rap Caprice, peguam berkenaan memberitahu mahkamah menetapkan 27 Dis ini untuk pengurusan kes.

“Pihak-pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah status (perbincangan) penyelesaian secara baik pada pengurusan kes akan datang (27 Dis),” kata peguam itu.

Pada 15 Ogos lepas, SM Faisal menyaman Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, sebagai defendan atas dakwaan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Instagram miliknya, yang mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes Emilia.

SM Faisal mendakwa hantaran fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

Pada 4 Sept 2019, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia atas kesalahan menghina mahkamah selepas ingkar perintah kerana mengubah tarikh lawatan tiga anak lelakinya yang kini berusia antara 10 dan 16 tahun untuk bersama bapa mereka, SM Faisal.

— BERNAMA


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here