Khairuddin letak jawatan, tak yakin dengan Mukhriz

0
225

KETUA Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan peletakan jawatannya, berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, peletakan jawatan itu selepas hilang keyakinan dengan kepemimpinan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir susulan peletakan jawatan bekas Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad, diterima parti itu, 15 Disember lalu.

“Mukhriz tidak mempunyai kualiti kepemimpinan seperti bapanya yang juga Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad serta tidak mampu untuk memimpin parti,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Sabtu lalu, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir disahkan oleh Muhkriz berundur daripada jawatan pengerusi parti itu, namun masih kekal sebagai ahli PEJUANG.

Seminggu sebelum itu, Ketua PEJUANG Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin meletak jawatan selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk rasa bertanggungjawab atas prestasi parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Khairuddin menjelaskan dengan peletakan jawatan itu beliau juga meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP) berkuat kuasa serta-merta, dan pembubaran Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.

Katanya, perjuangan beliau dulu, kini dan selamanya adalah demi wadah perjuangan mulia Dr Mahathir.

“Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Dr Mahathir yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.

“Presiden PEJUANG sudah tersasar jauh dari landasan perjuangan mulia Dr Mahathir dan selama ini Mukhriz bersama dengan konco-konconya bermuka-muka dengan Dr Mahathir saja,” katanya.

Beliau mendedahkan, dalam mesyuarat semua pemimpin bersetuju dengan Dr Mahathir, tetapi di belakang mereka mengambil pendirian yang berbeza.

“Dalam mesyuarat MEP mereka mengangguk sokongan, tetapi di belakang Pengerusi mereka mengambil pendirian yang bercanggah dengan pendirian mesyuarat MEP.

“Mereka ini adalah kalangan pengkhianat dalam PEJUANG,” katanya.

Beliau menegaskan sedang menunggu reaksi pemimpin parti itu berhubung dakwaannya dan jika mereka berbohong beliau akan menceritakan secara terperinci pengkhianatan puak ‘munafik politik’ itu.

Pada masa sama, Khairuddin juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli MEP Pusat berkuatkuasa serta-merta, dan pembubaran Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak selepas mesyuarat MPN Wilayah Persekutuan pada 19 Disember lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua PEJUANG Melaka, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh menyifatkan tindakan Khairuddin mempertikaikan dan memperlekehkan kewibawaan Presiden sebagai satu kenyataan angkuh dan sombong.

“Itu adalah hak beliau di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk bebas memilih mana-mana parti yang ingin sertai, tetapi kenapa perlu memberi gambaran bahawa Presiden seolah-olah tidak mampu mengalas tugas memimpin parti?.

“Pandangan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili suara ahli akar umbi yang masih lagi yakin dan percaya pada Presiden untuk memimpin PEJUANG,” katanya.

Beliau menyatakan, tindakan Khairuddin membuat kenyataan Majlis Pimpinan Pejuang Wilayah Persekutuan terbubar menunjukkannya sendiri sebagai Ketua Negeri tidak cekap dan fasih Perlembagaan Pejuang Fasal 11 bahawa hanya Majlis Eksekutif Pusat sahaja mempunyai kuasa berkenaan pembubaran Majlis Pimpinan Negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here