Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Keluarga insiden Batang Kali kecewa ada pihak kutip sumbangan -

Keluarga insiden Batang Kali kecewa ada pihak kutip sumbangan

AHLI keluarga kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor, Tai Chang Lin meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak tidak dikenali melancarkan tabung sumbangan kononnya untuk membantu meringankan beban keluarga terlibat.

Menurut Tai Seng Fui, 62, anaknya, Chang Lin, 35, menantu, Yu Siew Pay, 34, dan dua cucunya masing-masing berusia empat serta tujuh tahun masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang diteruskan oleh agensi terlibat.

Ujarnya, bagaimanapun sejak semalam ahli keluarganya mengesan aktiviti mengutip sumbangan di laman sosial yang didakwa untuk upacara sembahyang mangsa insiden tanah runtuh.

“Semalam, anak saya yang lain nampak di Facebook ada netizen muat naik status mengatakan sedih dengan tragedi yang meragut nyawa dan dia telah membantu mencari tokong untuk upacara sembahyang bagi mereka yang maut serta masih hilang.

“Justeru, ramai pembaca yang memberi respons bersimpati dan menyumbang, namun kami tidak pernah dihubungi berhubung kutipan dana itu,” katanya ketika ditemui pemberita, di Kampung Machap Baru di sini, hari ini, lapor Kosmo!

Difahamkan sumbangan itu termasuklah bagi membeli barangan keperluan upacara dan membayar upah sami.

Mengulas lanjut dia memberitahu, dia juga kecewa apabila pengguna Facebook terbabit turut menggunakan gambar-gambar tokong dan berkaitan upacara sembahyang yang dipercayai diperolehi daripada hasil carian dalam internet.

“Kami pelik, dia juga letak senarai nama mangsa yang terlibat tetapi keluarga kami masih belum ditemui.

“Di kampung Machap Baru ini, hampir 30 peratus penduduk merupakan keturunan keluarga ‘Tai’ dan ada keluarga lain yang terima panggilan daripada saudara mara yang hairan mengapa kutipan untuk upacara sembahyang telah dibuat.

“Perkara ini telah mencetuskan salah faham dan kami sangat marah kerana sehingga kini pihak terbabit tidak meminta izin dan tidak tahu kutipan tersebut ke mana, malah kini hantaran tersebut juga telah dipadamkan,” katanya.

Katanya, keluarganya menasihati orang ramai untuk menyemak kesahihan sebarang tabung yang dilancarkan di laman sosial bagi mengelak diperdayakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ujarnya, pihaknya akan membuat laporan polis sekiranya perkara itu terus menimbulkan ketidakselesaan kepada keluarganya.