‘Tak adil minta saya beri laluan kepada PH’ – Calon BN

0
194

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj merasakan tidak adil untuknya memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) di kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 7 Disember depan.

Sivaraj sebaliknya meminta calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang didakwanya baru sahaja ‘tiba’ di Padang Serai memberi laluan kepadanya, memandangkan beliau sudah tiga tahun ‘bekerja keras’ di kawasan itu.

“Sofee baru tiba di sini sehari sebelum penamaan calon. Jadi, adalah tidak adil untuk meminta saya memberi laluan kepadanya hanya kerana BN memberi laluan kepada calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

“Itu (apa yang berlaku di DUN Tioman) bukan masalah saya kerana senario di sini berbeza. Saya telah berkhidmat untuk rakyat dan orang di sini mengenali saya secara peribadi kerana nama saya.

“Sofee sepatutnya memberi laluan kepada saya…adalah tidak adil meminta saya memberi laluan, ia tidak logik. Saya tidak akan sekali-kali bersetuju dengan itu,” katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di Kampung Padang di Padang Serai, hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media mengenai hasrat Sofee supaya persefahaman dicapai untuk BN bagi memberi laluan kepada PH memenangi kerusi Parlimen Padang Serai sebagai hadiah kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan penangguhan PRU15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh pengundian.

Selain Sivaraj dan Sofee, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakri Hashim (WARISAN) dan Sreanandha Rao (Bebas).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here