Harap Anwar teruskan hubungan baik kerajaan Persekutuan-Kelantan, kata Tok Pa

0
175

SEMANGAT federalisme serta perpaduan antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang diamalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini wajar diteruskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, konsep federalisme yang diamalkan itu mewujudkan kerjasama rapat yang seharusnya dipraktikkan oleh kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, konsep federalisme itu penting dan semua pihak perlu melupakan sejarah lama dan harus memandang ke hadapan.

“Kita mengharapkan keadilan dan ihsan di pihak kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan hubungan erat dan kemajuan di Kelantan serta negeri negeri kurang membangun dapat diteruskan.

“Menjadi satu sejarah dan kenangan manis buat Kelantan dan rakyatnya apabila lima menteri penuh dan tujuh timbalan menteri menganggotai Jemaah Menteri (dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sebelum ini) sekali gus menyaksikan banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi persidangan DUN Kelantan (Pembentangan Belanjawan 2023) di Kota Bharu, hari ini.

Mustapa yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) pernah dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua pada 7 September 1998, selepas Anwar diarahkan meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1 September 1998.

Mustapa pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) baru-baru ini tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli yang diwakilinya sejak sekian lama atas alasan kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here