Polis tahan lapan warga asing menyamar pihak berkuasa lakukan samun

0
249

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS menahan sekumpulan warga asing yang menyamar sebagai anggota pihak berkuasa sebelum menyamun warga asing lain di Jalan Penang, Georgetown pada 15 November lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan manakala selebihnya warga Filipina termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun.

“Mereka ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh yang kerugian sebanyak RM14,800 selepas disamun sindiket berkenaan berhampiran sebuah kedai pengurup wang di Jalan Penang pada 13 November lalu.

“Sindiket ini mula aktif bermula tahun ini dan turut melakukan jenayah ugutan dan samun terhadap warga asing tersebut di Kuala Lumpur dan Melaka selain di negeri ini” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinhen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Katanya, semua suspek warga asing itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan memasuki negara ini menggunakan visa pelancong.

Malah ujar beliau, mereka turut menyewa dua buah kereta untuk menjalankan kegiatan jenayah samun tersebut.

Menurut Mohd. Shuhaily, dengan tumpasnya sindiket itu, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes samun melibatkan warga asing masing-masing tujug di negeri ini, dua kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Melaka melibatkan kerugian sebanyak RM42,600.

Selain wang tunai berjumlah RM6,265 dan mata wang asing Peso berjumlah 5,840, beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan daripada sindiket itu seperti 13 buah telefon bimbit; kad bank (33); pasport (2); jam tangan (4) dan gelang (2).

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati kesemua mereka negatif dadah, namun suspek warga tempatan mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.

Semua suspek kini direman selama 10 hari sehingga esok dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here