Misi bantuan kemanusiaan Malaysian Relief Agency ke Pakistan

0
335

MALAYSIAN Relief Agency (MRA) menghantar pasukan bantuan kemanusiaan ke Pakistan untuk melaksanakan program perubatan dan agihan bantuan lain kepada penduduk di sana ekoran kemusnahan teruk akibat banjir yang menenggelamkan satu pertiga wilayah negara itu, baru-baru ini.

Bencana alam banjir yang berlaku di Pakistan pada tiga bulan lepas telah menyebabkan 1500 orang meninggal dunia dan jutaan rakyat negara itu terkesan.

Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata fokus utama adalah bantuan perubatan di lapan kem penempatan sementara di daerah Khairpur, Larkana dan Mehar, wilayah Sindh yang diketuai, Pengarah Perubatan MRA, Dr Zafri Ismadi Mohd Anis.

“Pasukan MRA disertai dua doktor perubatan, dua jururawat serta dua sukarelawan umum bagi menjalankan misi kemanusiaan di sana.

“Selain itu, pasukan bantuan kemanusiaan MRA ke Pakistan turut melawat serta memantau beberapa projek MRA yang sudah dilaksanakan di beberapa daerah di Pakistan sejak 10 tahun lalu seperti projek WASH, pendidikan dan pembangunan komuniti terutama di daerah Peshawar dan Charsadda, Khyber Pakhtunkhwa.

“MRA juga menyalurkan nilai bantuan sekitar RM150,000 ribu dan beberapa bantuan asas yang lain seperti 800 bakul makanan asas, 20 khemah penempatan sementara, 24 penapis air serta 200 pakaian, selain kerja membaik pulih 10 telaga dan sistem pengairan yang terjejas untuk kegunaan penduduk di sana,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Dr Mohd Daud berkata, pada masa ini MRA mempunyai jaringan dan komuniti pantas bantuan kemanusiaan di Pakistan seperti Al-Khidmat Foundation dan beberapa pertubuhan lain yang turut menghulurkan sumbangan dana seperti Yayasan Yara.

Katanya, masih banyak bantuan kemanusiaan yang diperlukan oleh penduduk di sana terutama mereka yang terkesan dengan bencana banjir itu.

“MRA mengalu-alukan sumbangan untuk ‘Tabung Bantuan Banjir Pakistan” bagi membantu rakyat yang masih terjejas akibat bajir buruk itu.

“Untuk maklumat lanjut mengenai program yang dijalankan oleh MRA, boleh layari laman web rasmi MRA di www.mra.my.,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here