Kerjasama hanya dengan parti punyai hala tuju sama – Muhyiddin

0
247

KERJASAMA parti jika tidak ada parti yang mencapai majoriti 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah tidak mustahil.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ramai penganalisis politik serta pemerhati yang membuat perkiraan dan jangkaan angka parti yang bertanding dalam PRU-15 boleh mencapai majoriti, namun sebahagian besar tidak boleh mencapai majoriti.

Katanya, jika berlaku, PN akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan strategi dan langkah yang harus diambil.

“Banyak pihak penganalisa politik, pemerhati sudah membuat perkiraan ataupun congak angka parti yang bertanding boleh mencapai, sebahagian besar tidak boleh mencapai.

“Katakan malam 19 haribulan (Hari Mengundi) tidak ada satu parti mencapai 112 kerusi, waktu itu kami akan duduk bersidang mesyuarat tergempar, nak fikir apa strategi dan langkah,” katanya dalam sesi temubual bersama AstroAWANI.

Dalam pada itu Presiden BERSATU itu berkata, jika perlu gabungan, PN mempunyai sahabat di Sarawak seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sejak dahulu menyokong beliau membentuk kerajaan serta parti yang mempunyai hala tuju yang sama.

Katanya, PN akan melihat haluan dan tujuan parti yang tidak bercanggah dengan dasar perjuangan mereka jika ingin bekerjasama.

“Kerana ini menjadi satu pegangan yang serupa atau hala tuju yang sama. 

“Kita akan tengok yang mana satu ada haluan dan tujuan yang serupa yang tidak bercanggah dengan dasar perjuangan kita, tidak mengorbankan prinsip islam dan hak melayu dan sebagainya,” katanya.

Namun bekas Perdana Menteri itu berkata, strategi PN adalah untuk berusaha bersungguh-sungguh dengan harapan gelombang penyokong parti itu akan memenangi majoriti kerusi seterusnya membentuk kerajaan yang bersih dan berintegriti.

Katanya, gelombang di kalangan pengundi Melayu kukuh dan kuat, menunjukkan kemungkinan PN mencapai kemenangan majoriti kerusi itu mampu dicapai.

“Apa pun strategi kita sekarang ini adalah untuk usaha bersungguh-sungguh, dengan harapan ada satu gelombang. 

“Kalau gelombang di kalangan melayu itu kukuh dan kuat, dan sudah ada lihat tanda-tanda begitu, kemungkinan ia akan tercapai,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here