Bertanding di tempat sendiri beri kelebihan Rina tawan Sepang

0
222

BERTANDING di tempat sendiri selain mendapat sokongan daripada PAS memberikan lebih peluang untuk Datuk Seri Rina Harun menang di Sepang, itu sentimen dalam kalangan pengundi di lapangan.

Rina, yang memenangi kerusi Titiwangsa pada pilihan raya umum 2018 (PRU-14), dikatakan melarikan diri dari kawasan itu susulan cakap-cakap yang mengatakan bahawa Johari Abdul Ghani dari Barisan Nasional telah mendapat momentum yang baik di sana.

Bagaimanapun, pengundi Sepang menurut FMT, Rina sebenarnya ibarat ‘sirih pulang ke gagang’ dan beliau sebenarnya kembali ke tempat asalnya.

Ibrahim Mustafa, 60, berpendapat, Rina bertuah kerana mendapat sokongan PAS yang bekerjasama dengan Bersatu di bawah panji Perikatan Nasional (PN).

“Jika dia bergantung kepada Bersatu sahaja, parti itu tidak kuat di sini,” kata pemandu e-hailing itu, sambil menambah PAS secara aktif berkempen untuk PN menjelang pilihan raya umum Sabtu ini.

Seorang lagi warga tempatan, Osman Abu Bakar, 68, berkata, dia hanya mengenali Rina sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat tetapi tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenainya selain daripada jawatan yang dipegang.

Bagaimanapun, dia merasakan Rina boleh menang kerana persepsi pengundi Sepang terhadap Ahli Parlimen sebelum ini, Hanipa Maidin dari Pakatan Harapan yang berubah kerana ‘tak nampak bayang’ dan sukar ditemui.

Ia sedikit sebanyak menghakis kepercayaan rakyat terhadap PH, dakwa Osman.

“Maaf saya katakan tetapi jika anda bertanya kepada orang di sini, mereka akan bersetuju bahawa mereka jarang bertemu (Hanipa) di sini,” katanya.

Pada pilihan raya lalu, Hanipa menang dengan majoriti 18,705 undi. Beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum Sabtu kerana kesihatan yang mengizinkan dan PH kini diwakili Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu.

Osman berkata beliau mendapati tiada penerimaan negatif terhadap Rina oleh penduduk di Sepang walaupun khabar angin mengatakan ketua wanita PN itu telah meninggalkan Titiwangsa.

Tegasnya, Rina boleh memenangi hati rakyat Dengkil dengan mudah sekiranya dapat menyelesaikan masalah seperti kesesakan jalan raya, banjir dan kemudahan kesihatan yang lebih baik.

Peniaga kecil Samsuri Abu Samah, 52, berkata ramai yang kecewa dengan PH kerana gagal memenuhi manifestonya.

“Jika Rina menang, ia bukan kerana dia lebih baik daripada calon lain tetapi kerana rakyat kecewa dengan PH,” katanya.

Seorang lagi warga tempatan Khairul Anwar Samsudin berkata dalam era media sosial, pengundi khususnya golongan belia akan mengetahui sumbangan beliau kepada Titiwangsa.

“Jika dia bagus di Titiwangsa, kemungkinan besar dia akan bagus di sini. Pasti orang akan bertanya apa yang dia telah lakukan di sana,” katanya.

Selain Rina dan Aiman, lima lagi bersaing merebut kerusi Parlimen Sepang iaitu Anuar Basiran (BN), Che Asmah Ibrahim (Gerakan Tanah Air) dan tiga calon bebas – Daud Leong, Syahrul Amri Mat Sari dan M Muneswaran Muthiah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here