Tiga lelaki ditahan rompak stesen minyak guna pistol mainan

0
185

POLIS menahan tiga lelaki selepas melakukan rompakan secara berkumpulan di sebuah stesen minyak di Kodiang, Kubang Pasu, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, sebaik pihaknya menerima laporan kejadian jam 4.15 pagi, operasi khas mengesan suspek dilakukan sekitar daerah itu.

“Dua suspek masuk ke dalam stesen minyak terbabit dan meluru ke arah jurupam lalu mengacukan senjata dipercayai pistol mainan.

“Jurupam berusia lingkungan 20-an itu dalam ketakutan mengikut arahan suspek supaya menyerahkan wang.

“Selepas berjaya mengambil wang berjumlah RM2,700, suspek melarikan diri dengan memecut laju kereta Proton Satria biru yang dipandu seorang lagi rakan suspek yang menunggu di dalam kereta,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Rodzi berkata, selepas berjaya mengesan keberadaan suspek, polis berjaya menahan ketiga-tiga mereka di sekitar Jitra dan Changlun jam 1 hingga 3 petang hari yang sama.

Katanya, polis merampas sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit dan pakaian dipakai suspek untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 27 tahun itu mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurut Rodzi, hasil semakan polis juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau penyalahgunaan dadah.

“Polis sedang mengesan seorang lagi suspek bersenjata yang masih bebas dipercayai dalang kejadian rompakan itu,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here