Peguam Najib dakwa RM46 juta duit Najib di kondo, dicuri

0
191

PEGUAM Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa RM46 juta milik bekas Perdana Menteri itu yang disimpan di sebuah unit kondominium Pavilion Residence di Kuala Lumpur, dicuri.

Muhammad Shafee berkata, ia berikutan wang keseluruhan yang disimpan berjumlah RM160 juta, namun polis hanya menemui RM114 juta yang didakwa hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ketika menyerbu premis itu pada 17 Mei 2018.

“Pihak berkuasa itu juga tidak mengira wang di lokasi serbuan, sebaliknya di tempat lain yang menimbulkan pelbagai persoalan.

“Selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei 2018, ada serbuan dan banyak barang dirampas di premis itu. Kerajaan baharu ketika itu diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat kenyataan wang itu dicuri daripada 1MDB.

“Najib memaklumkan wang yang ada adalah RM160 juta bukan RM114 juta. Maka, ada orang mencuri sejumlah wang itu. Polis pun tidak beritahu bagaimana wang ditemui itu dibungkus dan tidak menyerahkan senarai barang rampasan kepada penghuni premis itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini, hari ini, selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kerajaan melucut harta bernilai kira-kira RM80 juta didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Harta itu membabitkan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan didakwa milik Najib serta Rosmah disita di Pavilion Residence, milik Obyu Holdings Sdn Bhd.

Pada 20 Mei 2021, kerajaan gagal dalam permohonan untuk melucut wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita, didakwa milik Najib dan UMNO.

Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata, selain itu, dalam premis itu ada jam tangan milik Najib dan beg tangan milik isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, mahkamah ada membuat keputusan mengenai perkara itu antaranya RM114 juta diserahkan kembali kepada Najib dan mengesahkan ia tiada kena mengena dengan 1MDB.

Muhammad Shafee berkata, Najib sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan wang itu.

“Kita minta polis siasat polis (yang serbu premis itu). Ia akan mengambil masa. Kita akan ambil tindakan lain, tunggu masa yang sesuai,” katanya, lapor Berita Harian.

Ditanya permohonan Najib kepada Jabatan Penjara untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Muhammad Shafee berkata tidak tahu mengenainya.

“Saya juga tidak pasti jabatan itu membenarkan banduan untuk keluar mengundi. Sudah tentu pengarah dan pegawai penjara dibenarkan pergi mengundi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here