Isu lompat parti tak timbul, saya dipecat, kata Rashid

0
205

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menyifatkan isu lompat parti yang dimainkan parti lawan tidak timbul kerana beliau sebenarnya dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Isu lompat tidak timbul kerana saya tidak pernah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat. Saya akan kepilkan surat pemecatan yang saya terima daripada PKR.

“Langkah Sheraton bukan lompat parti,” katanya pada sidang media di Batu Pahat, hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, isu sebenar langkah Sheraton adalah waktu itu semua ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN berpendapat bahawa keutamaan adalah untuk memastikan pemerintahan kerajaan mendapat sokongan kukuh.

Katanya, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan beliau tidak mahu terlibat dengan desakan sekumpulan ahli Parlimen yang membelakangkan keputusan mesyuarat PH.

“Tidak timbul isu lompat. Pertemuan Ahli Parlimen di Sherathon adalah usaha mendapatkan sokongan yang kukuh untuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad waktu itu.

“Kemudian Tun Mahathir letak jawatan. Jadi apa pilihan yang ada adalah keutamaan untuk memastikan kestabilan politik kerana wabak Covid-19 mula menular dan kita ambil kira semua aspek termasuk keselamatan rakyat dan ekonomi negara.

“Itu kisahnya. Boleh rujuk perbahasan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab persoalan Ahli Parlimen Beufort ketika pindaan Rang Undang-Undang Anti Lompat di Parlimen bila ditanya tentang peristiwa 16 September itu,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mohd. Rashid bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi Parlimen Batu Pahat dengan majoriti 17,894 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Haliza Abdullah dan calon Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.

Bagaimanapun, Mohd. Rashid kemudian keluar parti apabila berlaku ‘Langkah Sheraton’ dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here