DAP gugat keselamatan negara, tiada kredibiliti bercakap soal antikeganasan – Muhyiddin

0
191

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP dan Pakatan Harapan (PH) tiada kredibiliti untuk bercakap mengenai antikeganasan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mendakwa, DAP menggugat keselamatan negara semasa pentadbiran 22 bulan mereka selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kenyataan dibuat Kor Ming

Katanya, semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan, ada beberapa orang anggota DAP termasuk wakil rakyatnya ditahan kerana terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas, Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

“DAP menggesa saya sebagai Menteri Dalam Negeri supaya mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas. Alasannya kerana LTTE tidak lagi wujud setelah pemimpinnya dibunuh di Sri Lanka dan dengan itu, anggota parti yang ditahan bolehlah dibebaskan.

“Namun saya bertegas bahawa keputusan untuk mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia perlu diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“DAP tidak berpuas hati dengan ketegasan saya. Mereka mahu campur tangan dalam urusan keselamatan negara tanpa mengira implikasinya terhadap rakyat dan negara. Mereka tidak peduli semua itu asalkan kepentingan politik sempit mereka tercapai,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Ia sebagai reaksi kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang berkata Malaysia akan jadi negara Taliban jika Perikatan Nasional memerintah kononnya, Malaysia akan jadi negara pengganas.

Mengulas lanjut Muhyiddin menegaskan, beliau tidak tunduk kepada desakan DAP yang mahu supaya LTTE dikeluarkan daripada senarai kumpulan pengganas.

Namun katanya, beliau akhirnya terkejut apabila Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas menggugurkan pendakwaan ke atas mereka yang didakwa terlibat dalam kegiatan LTTE, termasuk beberapa anggota DAP.

“Mereka telah menjejaskan keselamatan negara demi kepentingan politik sempit mereka. Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab sama sekali,” tegas beliau.

Muhyiddin selain itu berkata, semasa 22 bulan pemerintahan PH lah Malaysia paling tidak aman dalam isu berkaitan perkauman dan agama.

Katanya, ini kerana DAP tidak sensitif kepada perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

“Sebaliknya, semasa PN memerintah semasa 17 bulan, negara kita aman. Tidak ada isu perkauman atau agama yang timbul.

“Jadi, jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain dalam Bersatu keluar PH.

“Bagi saya, DAP atau PH tidak ada kredibiliti untuk bercakap mengenai keamanan dan antikeganasan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here