PRU-15: Azmin persoal bagaimana BN, PH mahu bentuk kerajaan bersih ketika ada calonnya terpalit isu rasuah

0
173

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

PARTI Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat membentuk sebuah Kerajaan Pusat yang bersih dan bebas daripada amalan rasuah sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini kerana menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kedua-dua parti itu turut meletakkan calon yang terpalit dengan isu rasuah termasuk sedang dibicarakan di mahkamah.

Malah, kata beliau, terdapat calon dalam gabungan BN dan PH yang telah didakwa di mahkamah, namun langsung tidak berasa malu mengemukakan borang sebagai calon PRU15.

“Bagaimana mereka (BN) mahu membentuk kerajaan yang bersih sedangkan ada calon-calon parti ini yang mana kes rasuah mereka sedang berjalan di mahkamah.

“PH pun kononnya mahu melakukan reformasi, tetapi ada pemimpin mereka sendiri yang mempunyai pertuduhan rasuah,” katanya ketika berucap pada ceramah rakyat PN berhubung isu tambak laut di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.

Ceramah itu turut dihadiri calon PN kerusi Parlimen Bayan Baru, Harris Idaham Rashid dan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.

Menurut Mohamed Azmin yang juga calon dan penyandang kerusi Parlimen Gombak, situasi itu berbeza dengan calon-calon PN yang mana kesemuanya bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, pemimpin PH dan BN yang terpalit dengan isu rasuah itu sepatutnya memberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu sementara kes rasuah mereka dibicarakan di mahkamah.

Sehubungan itu tambah Mohamed Azmin, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menghukum BN dan PH pada hari pengundian 19 November ini dengan memilih calon-calon PN.

“Saya percaya rakyat hari ini sudah matang, pengundi di Pulau Pinang juga matang dan dapat menilai gabungan yang benar-benar ikhlas dan mampu membentuk kerajaan yang kuat, stabil dan bersih iaitu PN,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here