PRU-15: ‘Zalim pilih pemimpin terbukti tidak berintegriti’ – Hamzah

0
222

INTEGRITI adalah sikap utama yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin bagi menerajui dan membawa kemajuan kepada sesebuah negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sukar untuk integriti seseorang pemimpin dipertikaikan sekiranya mereka bersih daripada sebarang salah laku.

Katanya, sejarah Islam sendiri membuktikan jika seseorang individu yang berkeperibadian baik dipilih menjadi pemimpin, mereka mampu membawa kemajuan kepada sesebuah negara.

“Kalau negara itu sebuah negara maju, pemilihan pemimpin yang baik akan menjadikan ia dicontohi di seluruh dunia,” katanya ketika perhimpunan bulanan Jabatan Imigresen, di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Hamzah berkata, adalah satu kezaliman jika pengundi masih mengangkat mana-mana pemimpin yang diketahui berbohong dan melakukan pelbagai perkara yang boleh menyebabkan negara berada dalam kemiskinan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selaras dengan firman Allah SWT dalam ayat 188 surah Al-Baqarah yang antara lain melarang perbuatan memakan harta yang diperoleh melalui cara yang salah.

Beliau yang juga Setiausaha Agung BERSATU berkata, Malaysia mampu kembali menjadi Harimau Asia jika semua pihak memahami apa yang perlu dilakukan untuk memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan beramanah untuk menentukan masa depan bersama.

Pada masa sama, beliau berkata, jutawan terkemuka dunia, Warren Buffet, juga pernah menyebut perkara yang perlu dilihat dalam seseorang adalah kebijaksanaan, tenaga dan integriti.

“Warren Buffet berkata dalam menilai seseorang manusia, lihat kepada tiga perkara iaitu kebijaksanaan, tenaga dan integriti. Dan dia sambung, dia kata yang paling mustahak kalau mereka tidak mengikut perkara terakhir iaitu integriti, tidak perlulah melihat dua ciri-ciri pertama itu kerana ia tidak lagi penting.

“Tidak ada apa yang boleh dilakukan dengan kebijaksanaan dan tenaga jika seseorang itu tidak berintegriti.

“Saya yakin apa yang saya sampaikan ini adalah sesuatu untuk difikir-fikirkan oleh kita bersama. Saya minta maaf, saya tidak pernah bercakap sebegini rupa, tetapi pada masa-masa sebegini saya terpaksa menyampaikan ini kerana saya sayangkan negara saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here