Kemenangan PN realisasi Kuala Terengganu bandaraya berteknologi tinggi

0
243

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, satu undi untuk gabungan politik itu merupakan satu langkah ke arah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Bersih dan Stabil (BEST).

Menurutnya, usaha ke arah itu telah dilakukan pada penggal lepas dan akan diteruskan lagi apabila mendapat mandat rakyat.

“Untuk itu pengundi perlu memberi saya sekali lagi peluang bagi meneruskan kerja yang masih berbaki demi kesejahteraan kita bersama.

“Jangan lupa undi bagi P036 Kuala Terengganu untuk calon PN yang diwakili Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau berusaha untuk menjadikan Kuala Terengganu sebuah bandaraya yang dinamik, berdaya saing dan berteknologi tinggi.

Bagaimanapun kata beliau usaha itu hanya akan menjadi kenyataan dengan sokongan padu semua pengundi di Parlimen Kuala Terengganu.

“Ini adalah agenda utama saya yang jelas memerlukan sokongan daripada anda semua, rakyat Kuala Terengganu. Saya sedia menawarkan khidmat bakti,” ujarnya.

Sementara itu pada majlis lain isterinya Datin Dr Nur Diana Ahmad Takri turut membantu kempen Ahmad Amzad dengan keluar masuk kampung.

Semalam beliau menghadiri program penyampaian i-Bantuan OKU, ibu tunggal dan pencen rakyat yang diadakan di Dewan Sivik Pasir Panjang.

Ahmad Amzad berkata, sistem i-Bantuan merupakan inisiatif kerajaan Terengganu sejak Pas mengambil alih tampuk pemerintahan untuk meringankan beban rakyat.

Oleh itu katanya orang ramai hendaklah merujuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing untuk mengetahui semua bantuan yang disediakan kerajaan.

“Langkah itu dirintis kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah penduduk. Semoga Allah angkat semua kesusahan rakyat kita, dan menjadikan negeri kita maju, berkat dan sejahtera,” tambahnya, lapor Harakahdaily.

i-Bantuan Terengganu diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu golongan OKU, ibu tunggal serta warga emas melalui Bantuan Ibu Tunggal, Bantuan OKU dan Pencen Rakyat bagi meringankan bebanan penduduk miskin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here