Lori bawa muatan 90 gas amonia terbalik, enam tong bocor

0
208

SEBUAH lori yang membawa muatan 90 tong gas amonia terbalik di jalan utama Sungai Timun-Lubuk China di sini, pagi tadi, sehingga menyebabkan laluan tersebut ditutup di kedua-dua arah bagi tempoh lebih tiga jam.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bakarya Mohd. Salleh berkata, Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sembilan menerima panggilan kebocoran bahan kimia pada pukul 9.57 pagi.

Menurutnya, pasukan dari tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat iaitu Kota, Seremban 2 dan Masjid Tanah (Melaka) bersama pasukan khas Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Masjid Tanah serta Seremban 2 dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku tumpuhan bahan kimia jenis amonia yang terjatuh daripada lori tersebut. Enam dari tong berisi gas amonia dengan berat 68 kilogram bagi setiap satunya didapati telah mengalami kebocoran.

“Pasukan khas Hazmat telah mengambil bacaan, pada peringkat awalnya bacaan adalah melebihi 500 ppm (bahagian setiap juta). Setelah dibuat kerja-kerja menutup tumpahan tersebut, bacaan pada lokasi kejadian telah menurun kepada 40 ppm,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Ujar Bakarya, pihaknya kini sedang memantau dari sudut bacaan bahan kimia di lokasi kejadian serta menunggu pihak kren dari Tekno Gas bagi mengangkat tong-tong yang mengalami kebocoran.

Dalam pada itu menurutnya, pemandu berusia lingkungan 30an yang membawa lori treler tersebut dari Melaka ke Sungai Buloh, Selangor tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan menerima rawatan awal dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Menurutnya, operasi tamat bergantung kepada kerja-kerja memindahkan tong gas yang bocor oleh syarikat Tekno Gas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here