Tsunami tolak BN, PH bakal landa dari Utara ke Selatan – Muhyiddin

0
248

KEBANGKITAN rakyat dalam menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk sebuah kerajaan Prihatin, Bersih dan Stabil, semakin memuncak dengan tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya berbaki sembilan hari lagi, sebelum pembuangan undi 19 November ini.

Gelombang sokongan kepada parti itu dilihat sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang puluhan tahun berpengalaman dalam dunia politik tanah air, setelah mula berkempen di Kedah dan Perlis sejak dua hari lalu.

Beliau menceritakan kepada penduduk sekitar Pagoh, Johor, bagaimana sokongan hebat diterima PN di Perlis dan Kedah, malah menjangkakan negeri paling utara itu akan dapat ditawan dalam PRU-15 ini.

“Saya jangka sekarang ni dah ada di Melaka pun ada gelombang walaupun masih sedikit… saya pergi ke Perlis, Kedah. Sokongannya hebat (apa lagi)dengan Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

“Bila Shahidan bertanding atas tiket Perikatan Nasional di Parlimen Arau, porak-peranda UMNO dibuatnya. (Sebab itu) saya yakin Perlis akan jatuh ke tangan Perikatan Nasional,” katanya, lapor Agenda Daily.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Kelompok bersama penduduk Kampung Tengah, Kampung Naib Piee, Kampung Parit Buaya dan Kampung Sungai Terap, di Pagoh, malam ini (9 November 2022).

Pengerusi PN yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang dimenanginya sejak beberapa PRU lalu, berharap tsunami di Perlis akan terus melanda sehingga ke Johor.

“Mudah-mudahan (gelombang besar) itu mampu menghanyutkan segala sampah-sarap amalan rasuah dan salah guna kuasa, agar Perikatan Nasional dapat membentuk kerajaan yang berintegriti.

“Saya nampak rasa-rasa tumbang banyak kerusi kat sana (Perlis). Jadi untuk gelombang utara dia akan turun sampai ke Selatan… kita harap dan berdoa dalam tempoh dua tiga hari ini (gelombang) akan jadi terus membesar.

“Sebagaimana pada 2018 berlaku tsunami dan kali ini tsunami yang lebih besar untuk menghumbankan UMNO (BN) dan PH ke Laut China Selatan.

“Moga misi dan visi kita untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST) tercapai,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Muhyiddin menggesa pengundi supaya beramai-ramai keluar mengundi memilih Perikatan Nasional kerana peratusan undi yang rendah menyebabkan BN berpeluang menang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here