Mahkamah Rayuan kekal sabitan bunuh dan hukuman mati ke atas penganggur

0
150

SEORANG penganggur gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh seorang lelaki tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan menolak rayuan B.Rames.

Hakim Hanipah berkata pendakwaan telah membuktikan kesemua elemen dalam pertuduhan terhadap Rames dan pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munsabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata sabitan Rames adalah selamat dan tiada merit dalam rayuannya.

Rames, 47, dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 29 Okt, 2018 selepas didapati bersalah membunuh Mohd Harris Saravanan Abdullah, 36, antara 4 petang 9 Mac 2015 hingga 10 pagi keesokkan harinya.

Menurut kertas pertuduhan, Rames melakukan kesalahan itu bersama empat lagi individu yang masih belum ditangkap di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Melayu Seelong Selatan, Jalan Seelong-Ulu Tiram, Senai, Kulaijaya, Johor.

Menurut fakta kes, mangsa dan abang iparnya pergi ke ladang itu untuk mengambil bekalan dadah.

Abang ipar mangsa melihat Rames bertengkar dengan mangsa dan turut melihatnya (Rames) mengambil sebilah parang lalu menghayun senjata itu pada perut dan tangan mangsa.

Seorang lagi saksi pendakwaan, seorang penagih dadah, yang berada di lokasi kejadian melihat perayu (Rames) menjerut mangsa dengan tali dan kemudian membungkus mangsa serta barangan peribadinya dalam kanvas dan tilam angin, sebelum meletakkan mangsa di dalam kereta sorong.

Rames kemudian mengarahkan empat orang untuk menolak kereta sorong itu ke luar lokasi jenayah.

Rames yang diwakili peguam Datuk Rajpal Singin mempunyai satu lagi peluang iaitu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khushairy Ibrahim hadir bagi pihak pendakwaan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here