Hina Islam: Kelindan lori didenda RM12,000

0
241

SEORANG kelindan lori didenda RM12,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran menghina agama Islam di laman sosial Facebook, dua tahun lepas.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu selepas Tham Wai Yuen, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes itu hari ini.

Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik dan menghina agama Islam pada ruangan komen menggunakan akaun Facebook miliknya ‘Tham Thamsarak’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 2.30 petang, 4 April 2020.

Hantaran itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini pada 5 petang, 20 April 2020.

Tham didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat, mengambil kira komen bersifat jelik yang dibuat oleh lelaki itu.

Peguam Zaid Abd Malek yang mewakili Tham memohon denda minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai kelindan lori selain mempunyai penyakit darah tinggi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here