‘Anda tak akan faham’, Rafizi naik angin soalan media mengenai Invoke, status ‘jutawan’

0
229

RAFIZI Ramli kelihatan naik angin hari ini terhadap MalaysiaNow sambil membidas pengkritik yang menimbulkan persoalan mengenai syarikat berkait PKR, Invoke, ketika timbalan presiden PKR itu sekali lagi dilontar beberapa soalan mengenai butiran pengisytiharan asetnya yang menunjukkan lonjakan RM17 juta.

Rafizi, yang sebelum ini berkata beliau adalah seorang jutawan pada usia 30 tahun, ditanya mengapa pada 2017 beliau merayu derma daripada orang ramai dalam usaha mempertahankan dirinya terhadap saman fitnah National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi kemudian menuduh MalaysiaNow sebagai jurucakap kepada pengkritiknya, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bekas pendahulunya yang mengalahkan beliau ketika pemilihan parti bagi jawatan timbalan presiden PKR.

“Oh patutlah, ini (media) lidah rasmi Azmin Ali. Maaf saya tidak akan layan (soalan ini). Tidak mengapa, apa sahaja yang perlu saya sampaikan saya akan letak di blog (saya) dan platform lain, anda boleh Google dan ambil dari sana,” katanya.

Rafizi, yang membuat sidang media mengenai isu salah guna kuasa dalam pemberian kontrak RM2 bilion oleh kerajaan hari ini turut menuduh MalaysiaNow sebagai “lidah rasmi Latiff Ahmad”, merujuk kepada Dr Abdul Latiff Ahmad dari Bersatu yang mengkritik pemimpin PKR itu berhubung pengisytiharan aset terbarunya.

Beliau kemudiannya berulang kali meremehkan soalan wartawan, mengatakan bahawa dia tidak mahir dalam bidang kewangan.

“Sebab tu saya cakap balik dan cuba fahami kewangan sebab saya baru terangkan tadi tentang modal saham. Anda tak faham ke? Saya dah jawab soalan ketiga anda. Dapat tangkap?

“Apa sahaja wang tunai yang saya ada, telah dimasukkan ke dalam syarikat untuk membiayai pilihan raya umum dalam bentuk modal saham,” katanya, merujuk kepada suntikan modal ke dalam Invoke, sebuah syarikat analisis data yang ditubuhkan untuk membantu PKR mengukur sokongan orang ramai sebelum dan sehinggalah pilihan raya umum pada 2018 diadakan.

Rafizi menjadi tumpuan ramai berikutan pengisytiharan asetnya di mana beliau menyenaraikan RM16.7 juta saham dalam Invoke sebagai sebahagian daripada sejumlah RM19.67 juta aset yang dimilikinya.

Latiff bersama bekas ahli Parlimen PKRDatuk Mohd Rashid Hasnon membangkitkan persoalan terhadap tindakan Rafizi yang menyenaraikan saham bernilai RM16.7 juta sebagai aset peribadi, mengingatkan beliau tiada seorang pun dalam kalangan kakitangan di Invoke diberi agihan saham walaupun lima tahun dahulu pernah berjanji untuk memberikan ganjaran kepada mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here