Perikatan Nasional umum manifesto Ahad ini

0
461

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan manifesto gabungan itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kuala Lumpur pada Ahad ini, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Lau, yang juga Pengerusi Gerakan, berkata manifesto itu akan memfokus kepada pendekatan membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil kerana kestabilan kerajaan adalah penting dalam mentadbir urus negara.

“Manifesto ini akan memfokus kepada setiap perspektif termasuk ekonomi, pendidikan serta kumpulan demografi B40 dan M40 dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Jika diberikan mandat, kami akan turut mengemukakan idea dan penyelesaian untuk membantu mereka yang tergolong dalam kumpulan M40,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya PN bagi Jelutong di sini hari ini.

PN akan bertanding di kesemua 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang dengan Gerakan dan Bersatu masing-masing di lima kerusi manakala PAS di tiga kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan esok sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 15 Nov dan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov ini.—Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here