Amal politik matang, jangan aibkan calon – Ahmad Faizal

0
229

TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak agar tidak mengaibkan mana-mana calon dengan mengamalkan politik matang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata perkara ini penting dalam memastikan segala proses PRU termasuk sepanjang tempoh berkempen berjalan lancar.  

“Saya ingatkan kepada jentera dan penyokong pada hari penamaan calon (esok), kita perlu keluar beramai-ramai beri semangat sesama kita serta kerja kuat sewaktu kempen.

“Saya juga yakin penyokong parti lain akan berbuat perkara sama, saya harap sesama kita tidak perlu mengecilkan pihak lain dan menjalani proses demokrasi dengan matang dan tidak perlu gaduh-gaduh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Ditanya mengenai calon Menteri Besar PN sekiranya diberi mandat mentadbir Perak, Ahmad Faizal berkata gabungan itu tidak mahu mendahului keputusan PRU dan sebelum mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu dijangka berdepan saingan sengit Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, selain Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 Nov. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here