Jangan persoal keputusan PN terima Ismail calon di Maran – Saifuddin

0
261

PERIKATAN Nasional (PN) negeri membidas tindakan sesetengah pihak mengecam keputusan gabungan itu menerima bekas Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib sebagai calon di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kehadiran Ismail diterima PN dengan terbuka sekali gus memberi dokongan yang sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) kali ini.

“Pas tidak pernah bergaduh dengan UMNO dan mereka juga pernah berada dalam Muafakat Nasional (MN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga ada menerima undangan tersebut walaupun tidak kesampaian.

“Justeru itu, Ismail Muttalib adalah sahabat kami… bila dilihat daripada sudut demikian (hubungan baik), ini adalah menjadi satu pertukaran parti,” katanya di sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, memetik laporan Utusan Online.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ismail akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran atas tiket PN.

Barisan Nasional (BN) mencalonkan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin untuk bertanding di kerusi Parlimen Maran pada PRU15, 19 November ini.

Dalam sidang akhbar berkenaan, Saifuddin turut mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih RM1.16 juta.

Jelasnya, pengisytiharan tersebut adalah sebagai usaha untuk membuktikan keikhlasannya.

“Saya benar-benar ingin mendirikan sebuah kerajaan yang bersih dan berintegriti. Saya harap para pengundi dapat menilai keikhlasan saya dan kesediaan saya untuk setulus mungkin menawarkan diri sebagai calon,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here