Kerusi Arau: Sesiapa yang sokong PN dialu-alukan – Abdul Hadi

0
265

PERIKATAN Nasional (PN) mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyokong dan menyertai gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata memandangkan politik di negara ini bersifat dinamik, maka PN terbuka menerima bakal calon yang dijangka mampu memenangi kerusi serta dapat merealisasikan tema gabungan itu iaitu ‘Bersih dan Stabil’.

“… ia (pengumuman bakal calon) boleh berubah sepanjang masa, jadi percaturan (terakhir) adalah pada hari penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen PRU15 PN Kedah di Kompleks PAS Kedah, di Alor Setar malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media bahawa PN belum menamakan bakal calonnya di Parlimen Arau dilihat bagi memberi laluan kepada penyandang kerusi itu Datuk Seri Shahidan Kassim dari Barisan Nasional (BN) untuk mewakili gabungan PN pada PRU15.

Semalam, Pengerusi PN Perlis Mohd Syukri Ramli dilaporkan berkata beliau telah memaklumkan kepada pucuk pimpinan PAS dan PN pusat mengenai hasrat Shahidan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Ditanya mengenai keyakinan bagi menghadapi PRU15, Abdul Hadi, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Marang, berkata: “Keyakinan kita (PN) tinggi, kemenangan tidak mustahil namun tidak mudah dan sangat mencabar.”

PN mengumumkan akan bertanding di 169 kerusi Parlimen melibatkan Bersatu sebanyak 74 kerusi, PAS (64 kerusi), Gerakan (20 kerusi) dan Bersekutu (11 kerusi).

Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, PN akan bertanding di 116 kerusi di Pahang, Perak serta Perlis melibatkan PAS sebanyak 57 kerusi, Gerakan (14 kerusi), Bersatu (41 kerusi) dan Bersekutu (empat kerusi).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan  pengundian awal pada 15 Nov.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here