Joli sebahagian wang rompakan RM180,000 sebelum ditahan polis

0
192

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEMPAT joli sebahagian hasil rompakan berjumlah RM180,000 dengan membeli sebuah kereta Honda Civic; dua buah motosikal masing-masing Yamaha Y15ZR dan Honda Vario; empat buah telefon bimbit; sebuah televisyen; satu set bilik tidur dan dua buah mesin basuh.

Namun kegembiraan tiga sekeluarga termasuk dua beradik warga tempatan itu tidak berpanjangan selepas mereka ditahan polis kerana disyaki memecah masuk sebuah gudang alat permainan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira tiga bulan lalu.

Lebih malang, barangkali kerana tamak dan cuba memecah masuk gudang sama kali kedua, perbuatan mereka itu dikesan oleh pemilik gudang tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pemilik itu kemudian membuat laporan polis pada 24 Oktober lalu dan bertindak daripada laporan itu, polis menahan dua daripada suspek berkenaan iaitu adik-beradik masing-masing berusia 30 dan 25 tahun di sebuah rumah.

Menurut beliau, ketika ditahan polis turut merampas pelbagai barangan termasuk pakaian, pedang samurai, laptop, beg silang, telefon bimbit, pemutar skru, kekunci Allen dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

“Seorang lagi suspek iaitu isteri kepada suspek utama yang mengandung lapan bulan turut ditahan.

“Kita turut merampas tiga bentuk cincin, dua utas rantai tangan, seutas jam tangan pintar serta 12 helai resit pembelian serta resit gadaian emas daripada suspek,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, polis percaya penahanan kesemua suspek itu berjaya menyelesaikan dua kes pecah gudang dan kedai di sekitar Seberang Perai Tengah yang dilaporkan pada Julai dan Oktober lalu.

“Kesemua suspek kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda jika sabit kesalahan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here