“Minta sungai pun akan diluluskan kumpulan terdesak’’ – Tuan Ibrahim 

0
215

TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi lebih daripada seorang calon termasuk daripada Sabah dan Sarawak sebagai janji ‘mi segera’.

Sambil menyifatkan ia sebagai  langkah kumpulan terdesak mencari sokongan untuk menang pilihan raya, beliau berkata, cadangan itu cuma janji politik sekadar memenuhi permintaan parti politik di Sabah dan Sarawak.

“Tawaran bersifat ‘mi segera’ adalah gambaran kumpulan terdesak. Saya yakin apa saja yang diminta kepada kumpulan terdesak ini, akan dijanjikan. Minta sungai pun mungkin diluluskan namun persoalannya apakah ia wajar dan baik untuk masa depan negara,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji akan mewujudkan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Semalam, Ahmad Zahid ketika Perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3 Papar memaklumkan jawatan tiga Timbalan Perdana Menteriakan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan dengan jaminan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung dilantik.

Anwar pula mengumumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan tidak perlu disandarkan kepada keperluan bagi pembangunan sesuatu wilayah sebaliknya signifikan kepada seluruh negara.

Katanya, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mestilah memikirkan kepada pembangunan seluruh negara.

“Tidak perlu wujud jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi satu wilayah saja. Ia hanya akan menambah kos bagi kerajaan. Selama lebih 60 tahun kita merdeka, semua wilayah diberi perhatian sama. Bahkan kita telah wujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, apa yang penting bukan jawatan, tetapi perancangan pembangunan dan peruntukan kewangan bagi membangunkan negeri yang miskin bukan hanya di Sabah dan Sarawak tetapi juga negeri di Semenanjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here