Razali Idris tak bertanding bukan kerana takut kalah

0
286

PENGERUSI Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris, menyatakan dia yakin mampu menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika bertanding.

Namun, katanya, dia memilih untuk tidak menyertai PRU pada 19 Nov ini kerana mahu menumpukan perhatian kepada tugasannya selaku ahli Dewan Negara.

Pada masa sama, kata Razali, dia juga tidak mahu dicalonkan Perikatan Nasional (PN) Terengganu berdasarkan semangat setia kawan dengan PAS.

“Mana kalah… tak kalah, insya-Allah dan saya (tak tanding) bukan takut kalah sebaliknya beri laluan untuk PAS tanding di kerusi (yang akan ditentukan PN),” katanya.

Terdahulu Razali dihubungi untuk mendapatkan reaksi mengenai keputusannya tidak bertanding sebagai calon PN dalam PRU ke-15 bulan depan.

Ekoran pengumuman dibuat Razali baru-baru ini, timbul spekulasi yang menganggap keengganan tersebut didorong oleh kebimbangan dia sekali gagal mendapat kemenangan.

Dalam PRU ke-14, Razali diletakkan sebagai calon Bersatu-Pakatan Harapan (PH) di kerusi parlimen Hulu Terengganu. Bagaimanapun dia tertinggal jauh daripada pemenang, Rosol Wahid, dari Umno-BN yang memperoleh 30,926 undi.

Tempat kedua pula dikuasai calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid, yang mendapat 28,057 undi. Razali hanya memperoleh 3,364 undi.

Secara keseluruhan ada lapan kerusi parlimen di Terengganu dengan enam daripadanya dimenangi PAS. Selain Hulu Terengganu, Umno-BN juga memenangi Besut melalui Idris Jusoh.

Selepas PH membentuk kerajaan melalui mandat pada PRU ke-14, Rosol meninggalkan Umno untuk menjadi ahli parlimen bebas sebelum akhirnya menyertai Bersatu.

Bersatu kemudian meninggalkan PH sehingga membawa jatuhnya gabungan tersebut daripada menjadi kerajaan.

Kata Razali, sebagai senator dia mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan sehingga penggalnya tamat pada 2024.

Keputusan enggan dicalonkan itu, menurutnya, sudah dimaklumkan kepada Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, dia yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata memang tiada kerusi parlimen yang dilihat sesuai diperuntukkan kepadanya.

Jika ada sekali pun, katanya, ia adalah kawasan yang dimenangi oleh PAS pada 2018.

“Saya tak merajuk pun. Saya kekal sebagai senator sehingga habis penggal.

“Lagi pun saya tak ada kerusi dan kebetulan tempat saya itu (kerusi untuk) PAS. Jadi, kita tak boleh ganggulah dan sebab itu saya pilih untuk tidak bertanding dan kita bagi laluan kepada (penyandang) kerusi yang dah menang sekarang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here