Selamat datang ke Tambun, Faizal Azumu sindir ‘loghat’ Anwar

0
232

SELEPAS berteka-teki berhubung kerusi Parlimen yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau akan bertanding di Tambun, Perak.

Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) itu tidak memilih untuk melawan anak didiknya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk tapi sebaliknya ke Tambun, bagaimanapun penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengalu-alukan kedatangan Ketua Pembangkang itu dan sedia melawannya.

Menteri Belia dan Sukan itu secara sinis mengusik Anwar dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

“Hai Assalamualaikum. Bagi mereka yang nak berhijrah daripada tempat lain, dari satu tempat ke satu tempat, dan nak datang ke Tambun, saya nak beritahu sikit.

“Di Tambun kita sebut ayor. Dengar betul-betul, ayor, bukan ayaq.

“Ok terima kasih. Selamat datang,” katanya yang juga Timbalan Presiden Bersatu.

Sebagai rekod, Anwar berasal dari Pulau Pinang dan sebelum ini bertanding di Permatang Pauh sebelum menukar kerusinya di Port Dickson.

Bagaimanapun pada PRU-15 kali ini, Anwar membuat keputusan untuk tidak bertanding di kerusi Port Dickson.

Dalam pada itu, Tambun pernah menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi berjaya dirampas Faizal pada 2018. Walaupun kemenangan Bersatu ketika itu menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH).

Pada 2013, BN menang kerusi itu dengan 42,093 undi (56.2 peratus), manakala PKR memperoleh 32,768 undi (43.8 peratus).

Pada 2018 terdapat tambahan 12,089 undi di Tambun. Sokongan BN merosot kepada 33,341 (38.3 peratus).

Sebagai perbandingan, Bersatu ketika bertanding atas tiket PH, memperoleh 38,661 undi (44.5 peratus). -SB

Link video: https://www.facebook.com/pejaofperak/videos/2098837956984271/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here