Sukar, mustahil untuk BN menang 10 kerusi Parlimen di Kedah – Sanusi

0
468

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berpendapat, sasaran Barisan Nasional (BN) untuk menang 10 kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) agak sukar dan mustahil untuk dicapai.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, semua parti politik bebas bercakap apa sahaja mengenai sasaran masing-masing, namun, yang menentukan nasib mereka adalah undian daripada rakyat.

Dalam masa sama, Muhammad Sanusi menegaskan, dakwaan Pas semakin hilang sokongan di negeri Jelapang Padi itu juga tidak benar.

“Siapa yang nak bertanding dalam pilihan raya semua boleh cakap apa saja, nak berapa kerusi cakap sahajalah… tetapi realitinya hanya berlaku di hari pengundian, rakyat akan buat pilihan, malam itu dapat tahu keputusan, esok itu boleh tahu gelak atau teriak,” kata Muhammad Sanusi memetik laporan Astro AWANI.

Menteri Besar itu berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman, di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di negeri Kedah dalam PRU15 yang akan berlangsung pada 19 November 2022.

Ketika ini juga, jelas Muhammad Sanusi, proses rundingan kerusi membabitkan parti Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam kalangan komponennya iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu telah selesai dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai komposisi kerusi yang akan ditandingi parti masing-masing.

Semalam, BN mengumumkan gabungan itu menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di negeri Kedah untuk dimenangi pada PRU-15.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan beliau jumlah itu mampu dicapai berdasarkan sokongan rakyat kepada BN ketika ini selain kedudukan Kedah sebagai ‘swing-state’ yang sentiasa mempunyai kerajaan daripada gabungan parti yang berbeza.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here