PJ City sumbang hasil jualan tiket buat keluarga mendiang Rajes Perumal

0
348

PASUKAN Petaling Jaya City (PJ City) akan menyumbangkan hasil daripada jualan tiket perlawanan pertama Piala Malaysia mereka menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 Okt, kepada keluarga pemainnya Rajes Perumal, yang meninggal dunia akibat kemalangan pada Isnin lepas.

Presiden Kelab Datuk Seri Subahan Kamal berkata pemilik PJ City Datuk Seri Vijay Eswaran mahukan Kelab itu untuk menyumbangkan hasil jualan tiket perlawanan itu yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini sebagai penghargaan kepada khidmat pemain tersebut kepada kelab itu.

“Mendiang Rajes, 37, telah bersama kami sejak kami mula-mula beraksi di Liga Super pada 219. Tentunya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada Kelab itu dan juga keluarga bola sepak Malaysia. Beliau seorang pemain dengan displin yang tinggi dan komited sama ada di dalam mahupun di luar padang.

“Kami berharap peminat bola sepak akan hadir beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan ini dan menyumbang. Kesemua terimaan daripada jualan tiket akan disumbangkan kepada keluarga Rajes iaitu isteri dan tiga anaknya. Pemergian beliau satu kejutan untuk kami semua,” katanya dalam kenyataan.

Peminat bola sepak boleh membeli tiket perlawanan Piala Malaysia antara PJ City-JDT di Stadium MBPJ pada 26 Okt menerusi www.ticketonline.com. Tiket berharga RM30 untuk tempat duduk utama dan RM25 di tempat-tempat lain.

Isnin lepas, Rajes meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal di Batu Muda selepas hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok yang berada dibahu jalan berkenaan. -Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here