Polis tahan lima tokan, RM61,104 dadah dirampas

0
388

Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

LIMA lelaki tempatan ditahan dan merampas 4.56 kilogram dadah bernilai RM61,104 turut dirampas selepas polis melakukan lima serbuan berasingan sekitar daerah Pontian, semalam.

Pasukan tindakan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor melakukan serbuan pada pukul 1 petang hingga 7 petang dalam satu operasi khas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi serbuan tersebut lima lelaki berusia 18 hingga 36 tahun ditahan bersama-sama sejumlah rampasan dadah.

“Polis merampas 4.56 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM61,104. Dadah tersebut boleh digunakan 22,800 penagih.

“Polis turut menyita dua buah motosikal bernilai RM13,500. Keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi khas ini berjumlah RM74,604,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Lima lelaki tempatan yang menjadi tokan dadah ditahan dalam serbuan tersebut

Jelasnya, modus operandi pengedaran dadah ialah suspek menjadi orang tengah mendapatkan bekalan daripada pembekal dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Tambah Kamarul Zaman, kegiatan pengedaran dadah berkenaan dipercayai sudah aktif sejak September lalu.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis sehingga 26 Oktober ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 1 Januari lalu hingga Rabu JSJN Johor berjaya membuat tangkapan seramai 11,745 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

“Dalam tempoh yang sama JSJN Johor berjaya berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.95 tan. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM12.54 juta, turut disita harta berjumlah RM7.51 juta,” katanya.

Beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran dadah di kawasan mereka, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline JSJN 012-2087222. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here