[VIDEO] “Jangan sesekali undi golongan salah dan sesat”-Abdul Hadi

0
328

RAKYAT Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan digesa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November depan.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, orang ramai diminta tidak mengabaikan dan mengambil mudah hak yang dimiliki mereka pada PRU-15, memandangkan pilihan raya hanya diadakan lima tahun sekali sahaja.

“Segala kepercayaan, percakapan, hatta pekerjaan seseorang pasti akan dihisab dan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak, sama ada hubungannya dengan Allah SWT mahupun sesama manusia dan makhluk yang lain.

“Hal ini termasuklah dalam soal pengundian dan pemilihan kepimpinan negara. Baik seseorang itu turun mengundi ataupun tidak, semuanya direkodkan dalam catatan amal malaikat dan berada di bawah penilaian Allah SWT.

“Di sana, ada pihak yang mengambil keputusan untuk tidak mahu mengundi dalam pilihan raya dengan pelbagai alasan yang dangkal seperti politik itu kotor, semua parti politik adalah sama, undi tidak mengubah apa-apa, sistem demokrasi ialah sistem kuffar, dan sebagainya.

“Walhal dia sebenarnya turut terlibat sama dalam menentukan apa yang berlaku dalam kehidupan mereka dan masa depan mereka,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya pada Khamis.

Abdul Hadi berkata,lebih buruk tindakan mereka yang tidak turun mengundi itu membawa implikasi kemenangan kepada pihak yang sesat, salah, tidak amanah, dan tiada integriti untuk menjadi pemimpin negara.

“Justeru, tunaikanlah tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih kerajaan yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT, yakni kerajaan yang beraqidah, beriman, dan berakhlak.

“Jangan sekali-kali mengundi golongan yang salah dan sesat. Demikian juga, jangan sekali-kali tidak keluar mengundi sehingga mengakibatkan kemenangan kepada puak yang tidak sepatutnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here