Lima lelaki ditahan seleweng 955 kotak minyak masak bersubsidi

0
215

LIMA lelaki ditahan kerana disyaki menyeleweng 955 kotak minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 di sekitar ibu kota, minggu lepas.

Kesemua suspek yang ditahan masing-masing empat rakyat tempatan dan seorang warga asing berusia lingkungan 28 hingga 35 tahun.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata pihaknya menerima dua serahan kes tersebut daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras pada 12 Okt lepas.

Beliau berkata serahan kes pertama yang diterima melibatkan sitaan sebanyak 250 kotak minyak masak bersubsidi, dianggarkan berjumlah RM10,625 dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Chow Kit.


“Premis kediaman tersebut disyaki menyimpan minyak masak bersubsidi tanpa lesen sah, yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing yang berada di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.


Ariffin berkata serahan kes kedua pula melibatkan sitaan sebanyak 705 kotak minyak masak bersubsidi, dianggarkan berjumlah RM29,962 di sebuah gudang tidak bernombor di Taman Bamboo, Jinjang.


“Dalam serbuan itu, pasukan PGA menahan dua lelaki warga tempatan dan menyita sebuah lori berserta tangki boleh ubah, yang digunakan untuk menyimpan minyak masak dan merampas penyedut minyak masak dari premis berkenaan,” katanya.


Pada sidang media sama, Komandan Operasi PGA Cheras Supt Ibrahim Husin berkata kedua-dua sindiket terbabit, dipercayai mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi secara pukal dari negeri lain dan dikumpulkan di premis tersebut.


“Sindiket akan memproses semula minyak masak itu dan dijual kepada industri dengan harga sekali ganda daripada harga subsidi,” katanya.

Ibrahim berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana premis disyaki berurusan (menyimpan) barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi tanpa memiliki lesen sah. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here