PRU-15: SPR perlu lihat tahap ketersediaan fasiliti, perkhidmatan OKU

0
252

SURUHANJAYA Pilihanraya (SPR) perlu melihat tahap ketersediaan fasiliti dan perkhidmatan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan sesi pengundian mesra OKU, kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

“Ini amat penting bagi memastikan hak OKU terjamin serta diberi akses dan peluang yang sama supaya tidak terkecuali dan dipinggirkan dalam proses demokrasi,” kata Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral dalam satu kenyataan hari ini.

 Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Julai 2022, terdapat seramai 466,773 OKU daripada tujuh kategori berusia 18 tahun dan ke atas, dengan 199,254 daripadanya adalah OKU fizikal.

Ras Adiba mengesyorkan pemilihan lokasi pengundian yang dijadikan pusat mengundi adalah boleh diakses oleh OKU dengan kesemua pusat harus punyai kemudahan fasiliti yang mesra dan inklusif kepada OKU termasuk penyediaan ramp (mobile ramp), parkir OKU, tandas OKU dan kerusi roda.

Beliau juga mencadangkan agar jurubahasa isyarat disediakan untuk OKU pendengaran di lokasi pengundian, selain menambah baik sistem daftar pemilih dengan format tertentu seperti menggunakan braille agar boleh diakses oleh semua kategori OKU terutamanya OKU penglihatan.

Kertas pengundian perlu mesra OKU penglihatan dengan penyediaan kertas undi braille seperti yang telah dilaksanakan di Tamil Nadu, India, serta meja mengundi mempunyai ketinggian sesuai untuk pengguna kerusi roda, katanya.

Beliau berkata aplikasi audio seperti SMS suara (web atau mudah alih) untuk pendaftaran dan pemakluman butiran pengundian seperti lokasi, saluran, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen harus dibangunkan untuk OKU penglihatan.

Ras Adiba berkata petugas SPR juga harus melalui Latihan Kesaksamaan Ketidakupayaan (DET) untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ketidakupayaan dan perkara tersebut  boleh dimasukkan dalam modul persediaan dan latihan petugas SPR bagi PRU15.

Selain itu, katanya SPR harus menganjurkan bengkel khas dengan kerjasama pertubuhan OKU bagi mendidik pengundi OKU dengan Pendidikan Pengundi Sistematik dan Penyertaan Pilhan Raya atau Systematic Voters’ Education And Electoral Participation (SVEEP) serta melantik pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dilatih mengenai penyediaan kemudahan untuk OKU di setiap kawasan pilihan raya.

“Saya amat berharap SPR dapat memastikan segala kemudahan, fasiliti, teknologi, pendidikan pengundian dan sebagainya dilaksanakan seiring konsep keterangkuman sebagai komponen utama Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt bagi memberi laluan kepada PRU15, dan berikutan itu, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan.

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here