Jika benar berlaku, tak wajar rundingan sulit Zahid-Anwar

0
206

VETERAN UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim berpendapat Presiden partinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak sewajarnya mengadakan rundingan sulit dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, jika benar-benar berlaku.

Ketua UMNO Bahagian Arau itu berkata perbuatan itu sudah pasti membelakangi pendirian dan keputusan yang telah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini iaitu ‘No Anwar, No DAP’, sekiranya benar-benar berlaku.

Pada masa sama, beliau mengesahkan hubungan sulit berkenaan tidak berlaku pada peringkat UMNO Bahagian Arau.

“Yang (hubungan sulit UMNO-PKR) itu saya tidak tahu, untuk peringkat bahagian (Arau), saya (sahkan) tidak ada dan peringkat (Perhubungan UMNO) negeri (Perlis)… peringkat (UMNO) Pusat juga saya tidak tahu.

“Tetapi kalau ada rundingan sulit, itu tidak wajar berlaku sebab apa dalam Perhimpunan Agung UMNO, (pendirian) yang dibuat sebelum ini, kita telah buat keputusan No Anwar, No DAP,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik Arau, semalam (16 Oktober 2022).

Pada 14 Oktober lalu, media melaporkan, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menjelaskan kedudukan sebenar dakwaan kononnya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan cikgunya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perbincangan sulit berhubung PRU-15 akan datang.

Wan Saiful berkata beliau telah diberitahu oleh rakan dalam Pakatan Harapan (PH) bahawa perbincangan teramat sulit antara team Zahid dan team Anwar berjalan lancar.

Beliau mendakwa agenda perbincangan itu berkisar kepada meminimumkan pertembungan UMNO dan PKR pada PRU-15 dan pembentukan kerajaan gabungan selepas pilihan raya.

Shahidan sebelum ini adalah antara beberapa pemimpin UMNO lain yang dilihat bersikap kritis terhadap Zahid, namun menjelang PRU-15 ini beliau masih berharap dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada PRU-15 nanti, yang dimenanginya sejak 5 Mei 2013.

Menurut laporan Agenda Daily, bekas Menteri Besar Perlis dari 1995 hingga 2008 itu kini menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dalam Kabinet kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Kelmarin (15 Oktober 2022), Shahidan menegur pimpinan tertinggi UMNO dan BN supaya tidak meletakkan calon sembarangan bertanding di kerusi boleh menang pada PRU-15 nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here