Cukuplah Ismail Sabri…tak payahlah beri alasan lagi…

0
253

Oleh Zulkiflee Bakar

SELEPAS mendakwa tindakan 12 menteri mengutus warkah kepada Agong sebagai salah satu punca beliau memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, hari ini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuding jari pula kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata Perdana Menteri, kerajaan yang diketuainya tidak boleh diselamatkan lagi kerana menteri Perikatan Nasional (PN) ditekan oleh ‘bos’ mereka.

Ismail berkata, beliau tidak mahu menyalahkan menteri Bersatu atau Pas kerana mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju pilihan raya diadakan tahun ini kerana hanya menerima arahan Muhyiddin.

‘’Pengaruh Presiden Bersatu ke atas menteri tidak boleh dipisahkan..perkara tersebut (hantar warkah) maknanya menerika arahan Presiden (Muhyiddin). Parti arah tulis surat walaupun itu agak kurang wajar, mereka tulis juga surat itu. Itu diakui sendiri (Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainuddin). Saya tak salah mereka kerana ikut arahan parti,’’ kata beliau.

Penulis tidak pasti kenapa secara tiba-tiba Ismail Sabri mengaitkan Muhyiddin dalam soal pembubaran Parlimen. Adakah beliau ‘terlepas cakap’ ketika membuat kenyataan menyalahkan 12 menteri itu dalam kenyataan media beliau sebelum ini? Dan hanya menuding jari kepada Muhyiddin selepas beliau (Ismail) mendapati alasan itu dikecam oleh rakyat.

Cukuplah Ismail Sabri! Tidak payahlah berdolak dalik dalam soal pembubaran Parlimen. Benda dah berlakupun. Semua orang tahun sejak awal lagi pembubaran Parlimen ini berpunca kehendak pemimpin UMNO. Tak perlu buang masa hendak kaitkan orang lain.

Kalaulah Ismail Sabri boleh berkata, 12 menteri itu ditekan oleh ‘bos’ mereka, bagaimana pula kalau orang mentafsirkan beliau juga ditekan memohon perkenan Agong untuk membubarkan Parlimen oleh kepemimpinan UMNO? Bagaimana kalau orang lain juga berhujah, ‘’pengaruh Presiden UMNO ke atas Perdana Menteri tidak boleh dipisahkan’’?

Bukankah pada 30 September lalu MT memutuskan PRU-15 perlu diadakan pada tahun ini juga dan beberapa hari kemudian Ismail Sabri memohon bubar Parlimen.

Dan jangan lupa sejak awal tahun ini dalam apa juga perhimpunan besar melibatkan pemimpin BN dan UMNO, tak lekang daripada mulut mereka mahu Parlimen dibubarkan. Tak kan Ismail Sabri lupa. Kalau tak ingat boleh minta pasukan media beliau membuat kajian berapa puluh kali ayat ‘bubar Parlimen’ dan ‘mahu PRU-15’ keluar daripada mulut pemimpin-pemimpin tersebut.

Seperkara lagi, kalaulah Muhyiddin mahu beri tekanan kepada Menteri PN, kenapa sekarang? Bukankah lebih baik jika Muhyiddin melakukan lebih awal supaya Ismail Sabri menerima nasib seperti mana beliau  dikhianati oleh 15 ahli Parlimen UMNO sehingga terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri?

Oleh itu Ismail Sabri tidak perlulah lagi memberi alasan kenapa Parlimen bubar. Semua rakyat tahu kenapa dan siapa yang mahukannya. Lagi banyak beliau beri alasan, lagi teruk beliau dikecam.

Buat masa ini Ismail Sabri tumpulah perhatian untuk melaksanakan tugas Perdana Menteri dalam kerajaan sementara kerana kita pun tak tahu siapa Perdana Menteri lepas ni, sekalipun BN menang pilihan raya. Betul tak?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here