ADUN Sungai Tiang letak jawatan Exco Kedah

0
520

Oleh RIZQI ZABIDI

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob hari ini meletakkan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri yang memegang portfolio Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga berkuat kuasa serta-merta.

Tanpa menyatakan sebab beliau berbuat demikian Suraya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO hanya memaklumkan mengenai peletakkan jawatan tersebut menerusi satu kenyataan, sebaik berakhir Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Bagaimanapun difahamkan, keputusan tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan desas-desus menyatakan beliau akan diangkat sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Pendang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

“Adalah dengan ini saya dengan lafaz Bismillahirahmannirahim dan rela hati meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kerajaan negeri berkuatkuasa serta-merta.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah atas perkenan baginda melantik saya ke jawatan tersebut,” katanya.

Suraya bertemu dengan Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum mesyuarat Exco pagi tadi bagi memaklumkan mengenai peletakan jawatannya.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan exco, kepimpinan kerajaan negeri serta semua jabatan dan agensi kerajaan terlibat.

“Berjiwa besar, pastinya saya tidak akan lupa segala cabaran dan pengalaman membantu penyelarasan mempercepatkan projek naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) yang tertangguh akibat dihentikan kerajaan negeri terdahulu.

“Usaha itu menyaksikan Kedah menerima manfaat bernilai RM2.62 bilion berikutan penstrukturan semula industri air negeri meliputi penghapusan hutang RM1.82 bilion dan selebihnya bagi menampung kos membina dua b LRA baharu di Sidam Kiri dan Kodiang,” katanya.

Tambahnya, antara pengalaman berharga buatnya pada penggal ini adalah membantu menyediakan sumber air tambahan kepada rakyat Kedah melibatkan dua takungan air pinggir sungai (TAPS), bagi menakung air lebihan yang melimpah ruah ketika musim tengkujuh untuk kegunaan ketika musim kemarau.

“Paling mencabar, sudah tentu saya dan rakan-rakan bertungkus-lumus menghadapi cabaran bencana banjir kepala air di Yan dan Baling, tragedi ban pecah di Sungai Santap serta krisis air pada kemarau 2021.

“Namun Alhamdulillah, berkat kesabaran, keikhlasan dan jati diri selaku anak jati Kedah, saya yakin diri ini telah memberikan sepenuh komitmen dan bekerja keras sedaya mungkin sebagai Exco kerajaan negeri, sebagaimana diamanahkan. Semoga Allah merahmati dan akan terus memayungi negeri ini dalam redaNya, insya Allah,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here