Pemandu e-hailing dihadapkan ke mahkamah bunuh kanak-kanak

0
196

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pada 2 Oktober lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh Chan Wen Jie, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R. Salini.

Mengikut pertuduhan, Wen Jie yang bekerja sebagai pemandu e-hailing didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

Dia didakwa melakukan perbuatan di alamat nombor 33, Jalan Ria, Taman Skudai Ria, Skudai pukul 8 hingga 8.30 malam pada 2 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim, manakala tertuduh diwakili peguam K. Veeranesh Babu.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan kimia pada 17 November depan.

Pada 3 Oktober lalu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan maut dipercayai didera ketika di bawah jagaan kenalan bapanya serta pembantu rumah lelaki itu.

Bapa mangsa yang bekerja di Singapura dan ibunya bekerja di Batu Pahat meminta bantuan daripada lelaki tersebut untuk menjaga dua anak mereka termasuk mangsa sejak tiga bulan lalu.

Sementara itu, di mahkamah yang sama seorang pembantu rumah warga Indonesia, mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Yuliana 40, didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi yang sama pada kira-kira jam 10.15 pada 3 Oktober lalu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mahkamah kemudiannya, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas tertuduh. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here