Terima upah RM1,000 bawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan

0
297

SEORANG pekerja kilang sanggup menerima upah RM1,000 untuk membawa sebanyak 450 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM4,500 dari Kedah ke Kota Bharu, Kelantan.

Namun, usahanya itu sia-sia apabila suspek yang berusia 30 tahun berkenaan ditahan polis ketika sedang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki itu ditahan selepas polis mengesan kenderaan MPV itu dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 5.30 pagi.

Hasil pemeriksaan tambah beliau, pihaknya menjumpai sebanyak 45 beg plastik warna hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 45 kg yang diletakkan di bahagian belakang MPV terbabit.

“Bekalan ketum itu diperolehi dari Kedah dan suspek dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum meneruskan pemanduan ke Kota Bharu, Kelantan.

“MPV terbabit turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT hari ini.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati suspek menggunakan MPV yang disewa untuk membawa ketum itu dan sindiket terbabit aktif dalam kegiatan pengederan ketum sejak Ogos lalu bagi pasaran negeri Pantai Timur.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif sebarang bahan terlarang, namun mempunyai tiga rekod kesalahan lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

“Suspek direman selama enam hari bermula 7 Oktober lalu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here