BERSATU Terengganu jangka agihan kerusi PN selesai dalam masa terdekat

0
204

BERSATU Terengganu menjangkakan pengagihan kerusi bersama komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata meskipun beberapa siri perbincangan telah dilakukan, namun ia masih belum disimpul rapi bagi menentukannya.

Jelas Razali rudingan lanjut akan terus dilaksanakan bagi memutamadkannya walaupun sebelum ini pihaknya memaklumkan akan bertanding di kerusi yang dikuasai UMNO.

“Memang masih kekal dengan cerita dulu, kita akan bertanding di kerusi UMNO.

“Tapi dalam masa yang sama mungkin kita akan bincang jugak dengan PAS sebab PAS pun mungkin di kerusi-kerusi UMNO. Mungkin kita akan bincang di situ kemudian bahagi-bahagikan kerusi,” katanya.

Beliau berkata senarai nama calon yang akan diketengahkan pada PRU15 sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan dan kini dalam proses fasa akhir.

Jelas Razali lagi, BERSATU juga akan menampilkan muka baharu menerusi PRU itu nanti dan terus mengekalkan Datuk Rosol Wahid di Parlimen Hulu Terengganu.

Terdahulu BERSATU Terengganu berhasrat untuk meletakkannya calonnya di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

Selain itu BERSATU Terengganu juga akan mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu serta meletakkan calonnya bertanding di kerusi Parlimen Besut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here