PRU-15: Bersatu Terengganu pertaruh calon anak tempatan

0
371

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu tidak akan meletakkan calon payung terjun atau calon import untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, kesemua calon Bersatu yang bakal  dipertaruhkan di negeri ini merupakan anak tempatan.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid memberitahu, senarai nama calon dalam kalangan anak tempatan itu telah dihantar untuk penelitian pucuk pimpinan parti baru-baru ini.

Beliau berkata, nama calon tersebut diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga dikenali masyarakat setempat dengan keperbadian yang bersih dan disenangi ramai.

“Hasil kesepakatan Bersatu dan Pas di Terengganu melalui Perikatan Nasional (PN), setakat ini kita bersetuju untuk Bersatu bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta dua Parlimen.

“Paling sikit kita letak (cadangkan) hanya satu nama calon dan paling banyak adalah tiga nama  untuk satu-satu kerusi yang telah dikenal pasti.

“Semua nama yang kita cadangkan itu adalah hasil rundingan dari peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian seperti mana yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Utusan Online melaporkan, sebanyak 10 kerusi yang bakal diwakili calon Bersatu ialah DUN Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih dan Langkap.

Dua kerusi Parlimen pula ialah di Hulu Terengganu dan di Besut.

Kesemua 10 kerusi DUN yang bakal ditandingi Bersatu itu kini dimenangi oleh UMNO manakala Pas akan kekal bertanding di 22 kerusi DUN yang mereka menangi pada PRU14 yang lalu.

Ditanya mengenai statusnya pula, Rosol berkata, setakat ini, beliau masih kekal dengan keputusan pucuk pimpinan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

“Setakat ini, begitulah, saya kekal bertanding di (Parlimen) Hulu Terengganu, namun akur dengan apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi parti nanti,” katanya.

Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memang dengan majoriti 2,868 menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Bersatu, Razali Idris.

Bagaimanapun, Rosol memutuskan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018 dengan memberi alasan rakyat terutama pengundi di Parlimen Hulu Terengganu tidak menikmati pembangunan dan dipinggirkan selepas lebih enam bulan PRU14 berlalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here