[VIDEO] ‘Teladan Nabi Muhammad sebagai pemimpin harus diikuti’ – Muhyiddin

TELADAN Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin harus diikuti dan dipatuhi bagi mengukuhkan umat Islam serta rakyat di negara ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Sambutan Maulidur Rasul pada masa sama mengingatkan masyarakat serta dirinya untuk kembali kepada soal asal bimbingan yang ditunjukkan baginda.

“Sebagai bapa dan pemimpin dalam masyarakat, ini satu amanah dan tanggungjawab yang perlu saya gunakan untuk memperingatkan diri saya untuk masyarakat pentingnya kita kembali kepada soal asal bimbingan yang telah ditunjukkan contoh teladan terbaik oleh Nabi Muhammad.

“Kalau sampai kepada peringkat akhlak yang rosak, nilai hidup tidak bermakna, semua tiada pertimbangan, yang haram dihalalkan, dan perbuatan-perbuatan yang dilakukan itu tiada rasa malu,” katanya ketika berucap di Program Mini Karnival Pemulihan Negara dan Sambutan Maulidur Rasul Parlimen Tanjung Malim, Perak, hari ini.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi, serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Rosli Abdul Rahman.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, parti itu berjanji akan mentadbir negara dengan amanah dalam mengikuti teladan Rasulullah SAW.

“PRU akan sampai tidak lama lagi, itu akan kita tunaikan janji.

“Pilihlah PN supaya kita dapat mentadbir negara dengan amanah, jangan tipu, jangan rompak duit, jangan rasuah dan jangan salah guna kuasa,” katanya.-SB