Pihak bangkit isu surat menteri PN tak faham undang-undang: PM

0
270

PADA 6 Oktober lalu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan sama ada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih mempunyai sokongan susulan tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, menolak pembubaran Parlimen tahun ini.

“Apakah tindakan 12 Menteri PN (PPBM + PAS) mengutuskan warkah kepada KDYMM SPB Yang diPertuan Agong boleh dianggap hilangnya kepercayaan anggota kabinet terhadap Perdana Menteri?

“Jika menurut Klausa 4 Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan seorang Perdana Menteri yang sudah hilang kepercayaan majoriti, beliau boleh menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen atau meletakkan jawatan,” kata Asyraf dalam hantaran di Facebooknya.

Sehari kemudian pula, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tindakan 12 menteri PN menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong sebenarnya memberi gambaran sokongan kepada Ismail Sabri sebagai PM semakin berkurangan dalam kalangan anggota Kabinet.

“Semakin kurang keabsahaan. Kalau 100 peratus keabsahaannya sekarang cuma 60 peratus, 40 peratus sudah hilang.

“Sewajarnya isi kandungan surat dan penghantarannya tidak patut disebarkan,” katanya Ahli Parlimen Pontian itu pada sidang media ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO, Pontian.

Bagaimanapun, hari ini (9 Oktober) Ismail Sabri berkata keabsahan kerajaan pimpinannya masih kukuh dan tidak tergugat, malah menyifatkan pihak yang mempersoal dan membangkitkan isu itu tidak faham undang-undang hingga menimbulkan kekeliruan.

Walaupun 12 menteri Kabinet daripada PN menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menolak pembubaran Parlimen pada baki bulan tahun ini, keabsahannya sebagai PM tidak terjejas.

Menurut BH, Ismail Sabri menegaskan tidak timbul isu keabsahan kerajaan tergugat disebabkan surat berkenaan, sebaliknya perkara itu hanya dibangkitkan pihak yang tidak memahami undang-undang hingga menimbulkan kekeliruan.

Surat itu, yang ditandatangani oleh menteri dari Bersatu dan PAS, tidak menandakan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya, kata PM.

Beliau menegaskan, tindakan itu tidak menjejaskan keutuhan kerajaan kerana sokongan kepada seseorang PM adalah tertakluk pada majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat dan bukan anggota Kabinet.

“Mereka hanya menulis surat membantah pembubaran Parlimen (tahun ini) dan tidak menyebut mengenai peletakan jawatan, dan kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah dalam bidang kuasa perdana menteri dan Yang Di-Pertuan Agong.

“Jadi, isu kesahihan kerajaan tidak timbul, kerana sokongan daripada ahli Dewan Rakyat masih utuh,” kata Ismail Sabri kepada media selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara.

“Dalam Perlembagaan, hilang sokongan adalah apabila ahli Dewan Rakyat menarik diri (daripada menyokong Perdana Menteri). Ini kena faham. Ramai yang tak faham Perlembagaan dan bila bercakap tak ikut Perlembagaan, itu yang orang jadi keliru.

“Sokongan itu adalah sokongan ahli Dewan Rakyat. Kalau mereka tarik diri dan kurang daripada 112, majoriti mudah, kerajaan tumbang seperti yang berlaku pada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebab itu (ketika itu) seluruh Kabinet terpaksa meletakkan jawatan. Tapi kalau sokongan pada ahli Dewan masih kekal, tak ada perubahan, tak ada isu mengatakan kerajaan tumbang,” katanya lapor Agendadaily.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here