PRU-15: Bubar Parlimen antara April, Mei atau Jun, kan molek – Muhyiddin

0
231

PERIKATAN Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberikan ketetapan tarikh bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) segera supaya semua pihak mendapat gambaran jelas.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan keadaan negara sedang berdepan dengan ketidaktentuan pelbagai perkara dan Perdana Menteri perlu membuat kenyataan sama ada ia diadakan dalam masa terdekat atau ditangguhkan.

“Beliau (PM) juga tidak perlu mendengar nasihat daripada kepimpinan tertinggi (Top 5 Umno) yang mahukan PRU-15 segera diadakan kerana mereka bukan daripada kerajaan.

“Kerajaan perlu buat keputusan berkenaan dan PM perlu buat keputusan. Sebaiknya beri ketetapan dan boleh beritahu tidak adakan PRU tidak lebih awal daripada Mac tahun depan.

“Selepas banjir, bubar Parlimen antara April, Mei atau Jun, kan molek begitu, ada lagi masa,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali keempat di Dewan Geliga, Gersik dekat sini, hari ini lapor Harian Metro.

Muhyiddin berkata, selepas Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu tidak diketahui baginda memberi perkenan atau pun tidak untuk pembubaran parlimen.

“Apa pun yang terjadi PN tetap kekal dengan pendirian untuk tidak mahu PRU-15 diadakan dalam masa terdekat kerana ada perkara lebih penting dan diutamakan ketika ini.

“PRU perlu diadakan kerana sudah ditetapkan dalam Perlembagaan pada setiap lima tahun tetapi penggal pilihan raya lalu masih belum tamat dan berbaki beberapa bulan lagi.

“Perkara kedua adalah soal banjir, semua pihak sudah tahu banjir akan berlaku setiap tahun dan situasi banjir kebelakangan ini amat buruk dengan jumlah banyak kerosakan harta benda dan mangsa yang terkorban. Takkan kita nak abaikan perkara itu,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pagoh.

Katanya, sekiranya PRU-15 diadakan tahun ini, sedangkan ada beberapa negeri pembangkang tidak setuju membubarkan Dewan Undangan Negeri tambahan kos mengadakan pilihan raya negeri akan ditanggung oleh SPR, sekitar RM2 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here