‘Kami tak mahu PRU-15 tahun ini, fokus tumpu kebajikan rakyat’

0
260

NAIB Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin mengesahkan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu yang tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

Beliau berkata, ia berikutan menteri daripada PN berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini.

“Saya boleh sahkan memang kami menteri daripada PN sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon supaya tidak dilaksanakan PRU pada masa terdekat.

“Apa yang paling penting kita dalam kerajaan ingin menumpukan kepada perkara berkaitan kebajikan rakyat,” katanya selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022, lapor BH Online.

Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan, berkata dalam baki masa yang ada menjelang PRU, Kementerian Pendidikan (KPM) berdepan banyak perkara struktur yang perlu diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik.

Justeru, beliau berkata, dengan mengambil kira ketidaksesuaian masa untuk dilaksanakan PRU-15, menteri PN dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengutuskan warkah berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong, memohon dipertimbangkan supaya PRU-15 tidak diadakan dalam masa terdekat, jika permohonan untuk itu dipersembahkan kepada baginda.

Beliau berkata, apa yang dinyatakan dalam warkah diutuskan semalam, menyatakan pendirian PN selama ini berhubung isu PRU-15.

Katanya, Perdana Menteri juga mungkin sudah maklum mengenai warkah diutuskan selepas perkara itu dilaporkan pihak media.

“Ini adalah pendirian menteri PN. Itu pendirian parti,” katanya.

Pada masa sama, Radzi berkata, pihaknya juga sudah menerima senarai nama calon dicadangkan Bahagian BERSATU seluruh negara untuk bertanding pada PRU-15.

Beliau berkata, nama berkenaan sedang ditapis dengan teliti sebelum pihaknya membuat keputusan berhubung calon yang akan bertanding.

Katanya, bilangan kerusi akan ditandingi juga bergantung kepada keputusan parti.

“Banyak kriteria yang ditetapkan, tetapi paling penting calon yang bersih dan berintegriti selaras matlamat serta objektif parti memperjuangkan sebuah negara yang penuh integriti, cekap pemerintahan dan mempunyai tadbir urus yang baik,” katanya yang turut menyatakan akan bertanding jika mendapat restu parti.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon BERSATU, beliau melihat pelbagai sudut termasuk permintaan daripada sayap wanita untuk komposisi calon turut mengambil kira 30 peratus dalam kalangan wanita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here