Peniaga kedai makan didenda RM10,000 bantu rumah pelacuran

0
212

SEORANG peniaga kedai makanan dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas kesalahan membantu rumah pelacuran tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Nariman Badruddin selepas tertuduh, Mohd Jefri Johari, 49, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan pada sebutan kes tersebut hari ini.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu, lapor Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didapati menolong rumah persundalan di premis beralamat di No 330 Jalan Tun Ali, Melaka pada 11 April 2021, kira-kira pukul 5 petang.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 373 (1) (a), Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota polis melakukan tugas Op Noda pada tarikh, masa dan tempat sama seperti pertuduhan kerana disyaki menjalankan kegiatan pelacuran.

Sepanjang pemerhatian, polis mendapati wanita pelbagai bangsa masuk dan keluar di premis itu serta ada yang berlegar-legar di kaki lima kawasan di situ.

Sebaik tiba di premis, pegawai dan pasukan serbuan menahan seorang lelaki Melayu dan tiga wanita tempatan di dalam beberapa bilik bersama seorang pelanggan lelaki yang mana disyaki berlaku aktiviti pelacuran berdasarkan soal siasat dan rampasan barang kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivasangari, manakala tertuduh yang beralamat di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor, diwakili peguam Muhammad Farhan Mirza Azme.

Dalam rayuannya, peguam memohon tertuduh dikenakan hukuman ringan kerana berdepan isu kewangan serta kesihatan iaitu menghidap kencing manis, gout dan komplikasi jantung.

Pendakwaan bagaimanapun berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here