5 nelayan warga Indonesia termasuk 3 bawah umur ditahan ceroboh perairan Pulau Pinang

0
234

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEBUAH bot nelayan Indonesia bersama lima kru ditahan pada kedudukan 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi, Georgetown, kira-kira pukul 4.10 petang semalam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara oleh KM SIKUATI semasa rondaan OP TANJUNG.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara itu dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk tekong berumur antara 16 hingga 21 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tiga daripada kru juga didapati masih di bawah umur dan bot bersama kru termasuk tekong dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mereka ditahan dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) kerana memperdagangkan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Menurut Abd. Razak, penahanan itu adalah tangkapan kedua membabitkan bot nelayan asing dari Indonesia bulan ini di perairan Pulau Pinang yang mana tangkapan pertama adalah pada 14 September lalu oleh KM NYALAU sekitar 51 batu nautika barat daya Pulau Kendi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here