OLeh BADLISHAH MAT
PARLIMEN Alor Setar dan Sungai Petani di Kedah yang kini disandang PKR menjadi tumpuan Perikatan Nasional (PN) melalui Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk dirampas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
Selain dua kerusi Parlimen, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, mereka juga bercadang untuk bertanding di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri berkenaan iaitu Kota Darul Aman, Derga, Sidam, Bakar Arang dan Lunas.
Katanya, cadangan Gerakan Kedah tersebut akan di bawa ke peringkat Pusat sebelum berbincang mengenai perkara itu termasuk menyusun strategi yang perlu.
“Selepas buat analisis termasuk calon yang mereka cadang itu, ia akan dibawa pula ke peringkat PN untuk rundingan selanjutnya,” katanya selepas Merasmikan Mesyuarat Persidangan Perwakilan Tahunan Gerakan Kedah di Alor Setar.
Sementara itu, Dominic yakin isu pertindihan kerusi Parlimen Alor Setar selepas dikatakan Pas turut berhasrat untuk bertanding di situ akan diselesaikan dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan kesepakatan dalam PN.
“Katakan memang ada pertindihan tetapi sebenarnya pertindihan itu jika dilihat daripada sudut positif adalah kita memiliki ramai calon untuk bertanding.
“Calon yang dicadangkan oleh parti komponen mesti dipertimbang mengikut dua faktor yang penting iaitu dari segi sokongan jentera dan calon mana yang boleh menang dengan peratusan lebih tinggi. Kedua-dua itu mesti dibuat pertimbangan,” katanya.
Katanya, rundingan kerusi dalam PN akan diselesaikan sebelum pembubaran Parlimen dan berharap sebarang pertindihan akan diselesaikan gabungan tersebut di peringkat negeri terlebih dahulu.
“Arahan diberikan Pusat kepada semua komponen bahawa senarai calon bertanding harus diberikan, namun kita berharap perbincangan di peringkat PN negeri diselesaikan dahulu. Sebelum PRU-15 kita yakin akan selesai semua masalah ini termasuk isu pertindihan kerana kesudahannya kita hanya ada satu calon dan satu kawasan sahaja,” katanya. – SB