Polis Kelantan masih siasat kes lelaki hilang dipercayai dibawa lari ke Thailand

0
595

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan tidak pernah menutup siasatan kes kehilangan seorang lelaki yang dibawa lari dipercayai ke Thailand oleh sekumpulan individu pada 2017.

Sebaliknya, menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, siasatan kes berkenaan diteruskan dengan mencari bukti dan petunjuk baharu.

Katanya, dalam kes berkenaan, pihak polis juga telah membuat beberapa tangkapan, namun, tiada petunjuk yang dapat membantu siasatan.

“Pihak polis tidak pernah menutup siasatan dan siasatan diteruskan dengan mencari bukti dan petunjuk baru. Pihak polis juga telah membuat beberapa tangkapan, namun tiada petunjuk yang dapat membantu siasatan” kata Muhamad Zaki dalam kenyataan yang diedarkan.

Beliau mengulas laporan media tempatan mengenai harapan ibu kepada mangsa yang

masih mengharapkan kepulangan anak lelakinya yang dibawa lari oleh sekumpulan individu pada waktu malam, Julai 2017.

Wan Shahrizal Wan Zulkifli, 55, memaklumkan, sudah lima tahun peristiwa itu berlaku dengan tiada perkhabaran tentang anaknya.

Beliau bagaimanapun, yakin anak ketiga daripada empat adik beradik itu masih hidup.

Wan Shahrizal merupakan ibu kepada Mohd Aiman Zafri, 29 tahun yang kisah penculikan oleh individu yang dipercayai oleh kumpulan sindiket pernah mendapat liputan media pada 2018.

Pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan anaknya itu termasuk mencari di serata tempat di selatan Thailand.

Sementara itu Muhamad Zaki memohon kerjasama ahli keluarga mahupun orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan untuk berhubung dengan pihak polis di hotline PDRM Kelantan di talian 09-7455622 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tidak mengambil tindakan secara bersendirian kerana hanya akan mengundang bahaya dan merencatkan selain merugikan dari sudut perkembangan siasatan lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here